KAJIAN SAINTIFIK BUKTIKAN BERBEKAM BERKESAN
Sinar Harian
December 12, 2014
KOTA BHARU – Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK)
membuktikan kaedah kesihatan melalui berbekam selamat, berkesan, bersih
dan mencegah pelbagai penyakit jika dilakukan juru bekam diiktiraf.
Penyelaras Program Juru Bekam Klinikal, Prof Dr Ab Aziz Al-Safi
berkata, berdasarkan kajian saintifik yang dilakukannya selama dua
tahun, berbekam bukan sahaja amalan sunah tetapi dapat mencegah penyakit
kronik.
“Kajian ini memberi hasil yang menunjukkan indikator
terhadap pelbagai penyakit dengan mengurangkan kolesterol, menurunkan
tekanan darah tinggi dan kencing manis.
“Paling penting, saluran
sarah menjadi lebih anjal yang boleh mengelak serangan penyakit jantung,
sekali gus menghindar daripada strok, juga baik untuk buah pinggang dan
gout,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Diploma.
Majlis itu anjuran Kluster Perubatan Tradisional dan Integratif Pusat
Pengajian Sains Perubatan USM dengan kerjasama Akademi Usahawan Islam.
Turut hadir, bekas Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Prof
Mustafa Musa; Ketua Kluster Perubatan Tradisional dan Integratif USMKK,
Prof Dr Siti Amrah Sulaiman dan Pengasas Akademi Usahawan Islam, Datuk
Dr Mohd Zamri Mohd Salleh.
Lebih menarik, Abd Aziz berkata,
kaedah itu juga dapat mengurangkan penggunaan ubat-ubatan di hospital
dan menjimatkan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun.
Sementara
itu, beliau berkata, pemegang diploma bidang berbekam juga turut diberi
latihan keusahawanan Islam dalam usaha menjana pendapatan terutama dalam
persekitaran membantu orang kampung.
“Kita mendapati kekurangan
juru bekam di hospital, jadi latihan kursus diberikan kepada mereka
selama dua tahun dan latihan intensif. Pemantauan dilakukan dengan
catatan buku log.
“Juru bekam yang mengikuti kursus ini diminta
membuat kaedah bekam di tempat diiktiraf, malah menetapkan syarat mereka
perlu buat bekam sekurang-kurangnya 120 kali dicatat dalam buku log,
barulah mereka layak menerima pengiktirafan,” katanya.
Katanya,
setakat ini sudah dua kali majlis pengiktirafan diadakan, melibatkan 41
juru bekam di seluruh Malaysia dan sebahagian daripada mereka adalah 15
juru bekam diiktiraf yang terdapat di Kelantan.
Beliau berharap
lebih ramai juru bekam lahir di negara ini yang mengikuti kursus formal
dan memberikan rawatan berbekam melalui kaedah terbukti berkesan serta
mempunyai buku saintifik.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kajian-saintifik-buktikan-berbekam-berkesan-1.341096